MEI 2022

Lima Tuntutan Masih Dibincang


KUCHING: Isu pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak dan cadangan pertambahan bilangan Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak di Parlimen adalah antara lima tuntutan kerajaan negeri yang masih lagi dalam perbincangan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak(Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, cadangan lain ialah pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak (DID) dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182.

Cadangan keahlian wakil Kerajaan Sarawak Dalam Lembaga Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan perbincangan mengenai formula semakan pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan juga masih lagi dalam perbincangan, katanya menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki pada persidangan DUN di sini.

Ibrahim Baki bertanya jumlah tuntutan yang telah selesai dan baki tuntutan yang belum selesai di bawah MA63.

Menurut Hasidah, empat perkara telah selesai melalui Mesyuarat Majlis Khas Mengenai MA63 ialah persetujuan rundingan di antara Kerajaan Sarawak dan Petronas melalui Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA).

“Pengiktirafan hak Sarawak untuk mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum, pengiktirafan hak Sarawak untuk mengawal selia pengagihan gas di Sarawak dan pindaan kepada Perkara 1(2), 160(2) dan 161A (6) dan (7) kepada Perlembagaan Persekutuan yang telah berkuatkuasa mulai 11 Februari 2022, katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti